PETALING JAYA: Lebih 100 warga Bangladesh tidak mempunyai pekerjaan sejak tiba di Malaysia pada November, menurut aktivis hak asasi pekerja migran, Andy Hall.
Hall berkata, 104 pekerja itu membayar yuran pengambilan antara RM19,500 hingga RM21,700 bagi mendapatkan pekerjaan di negara ini, yang mana mereka dijanjikan kemudahan asas baik dan dibayar gaji tinggi.
Katanya, mereka diambil bekerja oleh sebuah firma pembinaan di Cheras.
Tiga daripada pekerja itu ketika ditemui Hall berkata, bayaran pengambilan mengakibatkan mereka terjerat hutang kerana terpaksa membuat pinjaman besar semata-mata mahu melangsaikannya.
Dalam laporan disediakan Hall, seorang pekerja dipetik sebagai berkata: “Saya terjebak dalam hutang besar. Saya tidak mampu membayar bayaran bulanan seperti dijanjikan apabila saya meminjam daripada pelbagai sumber, dan pemiutang mengancam keluarga saya.”
Pekerja itu berkata, pasport mereka juga dirampas sejurus tiba, selain berdepan penderaan fizikal dan lisan. Lebih buruk, mereka diancam bunuh oleh seorang lelaki yang mengambil mereka di lapangan terbang.
Laporan itu juga menyebut, pekerja terbabit tinggal dalam keadaan sempit dengan hanya satu tandas dikongsi lebih 100 pekerja.
Mereka mendapat makanan ala kadar kebiasaannya nasi, kacang dal, dan kentang putar dengan seorang pekerja mendakwa tidak diberi makan hingga empat hari apabila bertanya mengenai perkembangan pekerjaan mereka.
“Di sebalik apa yang dijanjikan, mereka dibiarkan tanpa kerja dan pendapatan. Memburukkan lagi keadaan, menjerumuskan mereka ke lembah hutang dan kesedihan,” kata Hall. -Free Malaysia Today