10 Lelaki Ditahan Berjudi Di Bulan Ramadan

GEORGETOWN: Kemuliaan Ramadan seakan tidak memberi makna kepada 10 lelaki beragama Islam yang diserbu ketika asyik berjudi di Jalan Batu Uban, Gelugor di sini, hari ini.

Mereka ditahan ketika leka bermain judi daun terup di taman permainan berhampiran sebuah kawasan perumahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata mereka ditahan dalam serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 4.45 pagi.

“Semua lelaki berusia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan kerana disyaki bermain judi daun terup di kawasan terbuka.

“Tangkapan membabitkan individu yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Razlam berkata, wang tunai berjumlah RM2,736 dan beberapa peralatan disyaki digunakan dalam judi seperti meja, daun terup dan lampu suluh turut dirampas.

“Mereka direman tiga hari sehingga 2 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. –Berita Harian

Related Articles