Katanya, tanggungjawab membangunkan Langkawi kini digalas kepimpinan UMNO sedia ada untuk membuktikan kemampuan merancang secara terfokus pembangunan yang menguntungkan rakyat.
“Kita berterima kasih (kepada Dr Mahathir kerana sumbangannya) tetapi hari ini kita (rakyat) kena pandang ke hadapan. Kita tidak boleh toleh ke belakang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen UMNO Bahagian Langkawi di sini.
Beliau mengulas desas-desus bahawa Dr Mahathir yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Timbalan Presiden parti itu yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu menjadikan Langkawi sebagai platform memperluaskan pengaruh PPBM.
“Banyak (terbukti) sejarah sebelum ini pun mereka berjuang tanpa fokus yang jelas… akhirnya berkubur,” katanya.
Untuk berhadapan saingan lawan dalam pilihan raya umum akan datang, Sohaimi berkata UMNO Langkawi telah merangka strategi khusus serta mengambil kira pendekatan yang belum pernah digunakan sebelum ini.
Beliau berkata, ia melibatkan gerakan kerja yang kreatif di luar pemikiran biasa bagi membolehkan jentera Umno di sini bersedia menghadapi apa-apa situasi yang tidak dijangka.
“Gerak kerja lebih fokus kepada mengekalkan kedudukan kerusi-kerusi parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya.
Dalam pilihan raya umum lepas, UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional di Langkawi menyapu bersih kedua-dua kerusi DUN dan satu parlimen yang dipertandingkan. –Bernama