Zaid sering dikaitkan bakal kembali aktif di pentas politik dan DAP dilihat sebagai parti yang disertainya.
Berdasarkan jemputan yang diedarkan, Zaid akan menghadiri sidang media di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur pada Selasa.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga akan hadir dalam majlis tersebut begitu juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook enggan mengesahkan sama ada Zaid akan menyertai DAP dengan berkata beliau hanya menyedari maklumat mengenai sidang media itu kerana ia dianjurkan ‘orang Zaid’.
“Namun saya boleh sahkan majlis itu akan berlangsung pada Selasa,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Zaid yang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, dikatakan akan terus mengunci mulut mengenai keputusannya menyertai DAP minggu depan.
Dilantik sebagai menteri undang-undang pada Mac 2008, Zaid meletak jawatan daripada kabinet enam bulan selepas mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri yang digunakan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP), wartawan Tan Hoon Chen dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.
Beliau kemudiannya digantung oleh Umno pada akhir tahun itu dan menyertai PKR pada Jun 2009.