Bersempena dengan lawatannya itu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa.
Perbahasan itu adalah mengenai ‘Cabaran Dalam Mendepani Percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran dan Kaedah Penghantaran, Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Kepada Pelaku Bukan Negara’.
Ahmad Zahid akan berada di New York dari 22 hingga 26 Ogos.
Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 anggota dengan kuasa-kuasa besar termasuk Rusia, United Kingdom, Perancis, China dan Amerika Syarikat, yang menjadi lima anggota tetap badan itu.
Majlis Keselamatan juga mempunyai 10 anggota tidak tetap termasuk Malaysia yang dipilih secara serantau untuk tempoh dua tahun.
Kepimpinan UNSC digilirkan dalam kalangan lima anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap mengikut abjad.
Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan untuk mandat dua tahun bermula 1 Jan tahun lepas dan akan berakhir 31 Dis ini.
Jawatan presiden Majlis itu disandang oleh setiap anggota seterusnya selama sebulan dan Malaysia menyandang jawatan UNSC yang digilirkan itu bagi bulan ini.
Ketibaan Ahmad Zahid di sebuah hotel di New York disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan para pegawai Malaysia yang lain.
Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Ahmad Zahid ke Amerika Syarikat sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas. – Bernama