Beliau berkata bantuan yang disalurkan bukan secara bermusim atau ketika pilihan raya sahaja malah ia juga berdasarkan permintaan dan keperluan negeri.
“Mana-mana kerajaan akan membantu rakyatnya. Jika tiada pilihan raya, bantuan dan peruntukan juga disalurkan sebab (kami) kerajaan persekutuan bukan kerajaan berlandaskan kepada kepimpinan politik bermusim.
“Kita tidak hanya datang ketika pilihan raya. Kita bukan kelawar dan keluang yang mengutip buah ketika musim buah sebaliknya kita memberi kesinambungan peruntukan. Ini adalah tanggungjawab kami membantu rakyat,” katanya kepada Bernama ketika melawat Pusat Operasi Media Bernama di Kuching semalam.
Ahmad Zahid diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kononnya pengumuman dana di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawa kelmarin adalah satu tindakan cubaan membeli undi.
Ahmad Zahid berkata kehadiran menteri persekutuan membantu BN Sarawak adalah merupakan tanggungjawab anggota pentadbiran kerajaan apabila berada dalam parti yang sama.
“Kita turun ke bawah bukan sekadar membantu dari segi sokongan moral tetapi juga memenuhi keperluan pembangunan dan peruntukan ikut bidang masing-masing. Sebenarnya, Sarawak memerlukan banyak peruntukan untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan juga bantuan lain.
“Saya berharap apa yang telah disumbangkan bukan sahaja membantu rakyat secara langsung, ia juga menunjukkan keikhlasan yang dilakukan kerajaan pusat.
“Ini menunjukkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang jarang bermukim begitu panjang pada (mana-mana) pilihan raya negeri. Kesungguhan perdana menteri adalah untuk menterjemahkan sokongan peribadi kepada (Ketua Menteri Tan Sri) Adenan (Satem)dan juga rakyat Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang melawat banyak tempat di Sarawak sejak hari penamaan calon pada 25 April untuk Pilihan Raya Sarawak ke-11, berkata respons keseluruhan pengundi adalah amat positif dan menggalakkan berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Saya yakin ini berlaku kerana kami mempunyai Team Adenan. Beliau telah memilih calon yang baik mahupun calon langsung daripada parti bukan gabungan BN. Saya fikir memanglah akan ada sedikit masalah kerana tidak semua akan berpuas hati dengan calon pilihan beliau.
“Kami sedang bekerja keras untuk mendekati mereka ini dan dapat menyelesaikan banyak masalah yang timbul dalam tempoh berkenaan yang tinggal tiga hari lagi, saya percaya gerakan jentera kami telah masuk gear lima untuk menambah kelajuan sehingga 7 Mei, hari bagi kami untuk meneruskan sokongan terhadap Adenan,” katanya.
Bila ditanya secara peribadi apa yang disukainya tentang Sarawak, Ahmad Zahid menjawab ‘penduduknya’.
Mereka mempunyai budaya, agama dan bahasa berbeza tetapi mereka ketepikan semua ini dan ini amat mengagumkan, katanya. – Bernama