Zahid jamin ROS tiada masalah lulus parti politik baru

Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan daripada kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengumumkan baru-baru ini akan menubuhkan parti baru.

“Jika ada parti baru yang mahu diwujudkan, saya sebagai Menteri Dalam Negeri akan meluluskannya kerana kita sebuah negara yang mengamalkan demokrasi,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan jamuan Hari Raya Aidilfitri Umno/BN negeri Perak di Kuala Kangsar malam tadi.

Pada 14 Julai lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau berhasrat menubuhkan parti baru yang akan menjadi sebahagian komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menarik perhatian apabila berkata beliau optimis penubuhan parti politik baharu tidak akan mampu menarik penyertaan anggota BN dan Umno.

“Sejarah telah membuktikan banyak parti yang ditubuhkan sejak 1951, namun tidak mampu bertahan lama.

“Silalah buat parti baru. Ahli UMNO dan BN tetap utuh dalam parti sebagai sebuah pasukan, biarkan parti serpihan datang dan pergi, tetapi UMNO tetap utuh,” ujarnya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri