Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan itu dibuat mengikut perlembagaan BN selepas MCA dan MIC mengemukakan usul mengenainya.
“Mesyuarat ini memutuskan untuk melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi BN yang baharu. Usul ini dicadangkan oleh MCA dan MIC dan telah diterima sebulat suara,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pada 3 Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Najib pada 28 Julai tahun lalu.
Mesyuarat BN hari ini turut dihadiri oleh semua presiden parti komponen BN. – Bernama