Yow Ng yang juga pilihan kedua, memberi persembahan penuh aksi dengan membuat kejutan terhadap pemain pilihan utama, Saadeldin Abouaish dari Mesir apabila menang 11-3, 9-11, 11-7 dan 11-5.
Pertandingan akhir kategori remaja lelaki itu berlangsung kira-kira 54 minit, menurut laman web kejohanan itu; www.wsfworldjuniors.org.
Kemenangan itu mengubat kekecewaannya selepas kalah dalam separuh akhir kepada Diego Elias dari Peru yang merangkul tempat kedua skuasy remaja dunia buat kali kedua, di Eindhoven, Netherlands tahun lalu.
Untuk rekod, bekas pemain antarabangsa Ong Beng Hee adalah pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Remaja Dunia itu pada 1998 dalam kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat.
Yow Ng akan membawa cabaran negara dalam acara berpasukan lewat hari ini, apabila Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama-sama pasukan Afrika Selatan, Sepanyol dan juga Amerika Syarikat.
Terdahulu, pemain nombor lima dunia dan pilihan pertama, Nouran Gohar dari Mesir menewaskan rakan sepasukan, Rowan El Araby; 11-5, 11-6 dan 11-7, sekali gus mempertahankan gelaran kategori wanita yang dimenanginya tahun lalu di Eindhoven, Netherlands. – Bernama