Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin,32, berkata, perkara tersebut terjadi selepas secara tidak sengaja dia melanggar pantang dengan memakan makanan sejuk yang tidak sesuai dengan ketahanan badannya.
“Saya ada lebih kurang seminggu lagi proses berpantang, sepanjang proses ini memang agak sukar juga kerana saya bersalin secara pembedahan dan sukar untuk bergerak akibat luka.
Kehadiran cahaya mata mengeratkan lagi hubungan Yana dan Fadzil.
“Dua kali saya alami bentan dan demam mengejut serta menggigil seluruh badan akibat tersalah makan.
“Kali pertama saya rasa ia mungkin berpunca saya makan sayur bayam, walaupun ada membaca serba sedikit tentang pantang larang tapi ia bergantung kepada badan masing-masing juga,” ujarnya kepada mStar Online.
Pelakon filem Bini-Biniku Gengster ini berkongsi pengalaman ketika melalui proses berpantang selepas bergelar ibu kepada bayi lelaki yang diberi nama Aisy Mateen.
Yana berkahwin dengan pelakon dan penulis skrip Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015.
Selain itu, kata Yana, dia juga tidak membuat sebarang persediaan untuk melalui proses berpantang secara pembedahan.
“Saya sudah baca dan buat banyak persediaan untuk bersalin secara normal, namun tidak sangka waktu bersalin itu mengambil masa 16 jam sehingga doktor beritahu bayi hampir lemas dan terpaksa dibedah,” ujarnya. -mStar