Wujud diskriminasi Melayu dalam syarikat Cina

Ridhuan berkata terdapat beberapa kajian daripada sarjana tempatan sebagai bukti seperti dituntut anggota Jawatankuasa Pusat MCA, Koh Chin Han daripada anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Ridhuan memetik satu kajian pada 2012 melibatkan lepasan siswazah daripada universiti awam dan swasta tempatan yang memohon bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.

Kajian itu katanya, menyebut bahawa graduan Cina lebih mudah dipanggil untuk ditemuduga berbanding orang Melayu dengan faktor kaum lebih diutamakan.

“Syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.

“Hasil kajian tersebut, daripada 3,012 resume yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, orang Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

“Berbanding orang Cina mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan orang Melayu,” ujarnya seperti dilapor portal milik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ismaweb.

Beliau dipercayai merujuk kajian dijalankan Lee Hwok Aun, seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya (UM) dan Muhammed Abdul Khalid, Felo Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaya (UKM) pada 2012.

Katanya, kajian tersebut bukan perkara baru kerana beberapa kajian lain turut dibuat sejak 33 tahun lalu juga menghasilkan keputusan yang hampir sama.

Antaranya kajian oleh seorang pakar ekonomi, D. R. Snodgrass pada 1980 yang membuat kesimpulan syarikat yang diterajui kaum Cina kebiasaannya tidak akan menggajikan pekerja Melayu.

Kajian lain, katanya adalah daripada pakar ekonomi Norway, Tan Sri Just Faaland yang mendapati pendapatan pekerja bumiputera adalah lebih rendah berbanding pekerja Cina.

Kajian yang sama, katanya turut dijalankan oleh Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway pada tahun 2005 dan pakar ekonomi Bank Dunia, Branko Milanovic pada tahun 2006.

“Pemimpin yang baik adalah dalam kalangan mereka yang banyak menelan daripada meludah.

“Pemimpin MCA sebegini tidak layak langsung menjadi pemimpin dengan ludahan sampahnya. Pemimpin inilah yang akan bertanding di kawasan orang Melayu dalam pilihan raya nanti untuk mendapat kemenangan setelah ditolak oleh majoriti Cina. Dasar tidak sedar dek untung,” kata Ridhuan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Koh Chin Han meminta bukti daripada Tajuddin berhubung dakwaan bahawa firma-firma Cina menindas kaum Melayu.

Koh mengulas komen Tajuddin yang dibuat ketika mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Permatang Pauh kelamarin.

Memetik laporan China Press, Tajuddin berkata syarikat-syarikat Cina atau bukan Melayu tidak akan mengambil pekerja Melayu sedangkan mereka menuduh Umno sebagai rasis, fanatik, namun mereka lebih bersikap perkauman.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia