Ia membuat tawaran untuk menjual saham Maybank antara RM8.00 dan RM8.05 sesaham, lapor akhbar tersebut.
Saham Maybank ditutup pada harga RM8.05 sesaham, semalam.
Felda merupakan pemegang saham keempat terbesar Maybank dengan memegang kepentingan 1.82 peratus atau 185.150.000 saham.
Felda dikatakan memerlukan dana untuk membeli 37 peratus ekuiti dalam firma Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) yang dilihat bakal menguntungkannya dari segi perolehan hasil tanaman sawit yang tinggi disumbangkan oleh EHP.
Ini berikutan profil tanaman sawit EHP dalam usia matang bagi pengeluaran hasil EHP, sekaligus membolehkannya menjana keuntungan besar pada suku keempat 2016 iaitu peningkatan sebanyak 291 peratus kepada Rp504 bilion (100 rupiah=RM0.03342), demikian menurut laporan analisis bersama dua firma antarabangsa Daiwa Securities Group Inc dan PT Bahana Securities.
“Ia di sebalik pengukuhan harga minyak sawit mentah (MSM) dan peningkatan pengeluaran (44 peratus pada suku keempat) berikutan pemulihan daripada kesan El Nino dan kematangan hasil tanaman,” katanya.
Daiwa Securities adalah kumpulan khidmat pembrokeran dan kewangan terbesar di Jepun dengan aset hampir US$200 bilion pada 2015 manakala Bahana Securities merupakan bank pelaburan di Indonesia yang juga syarikat peneraju analisis sekuriti di negara itu.