Welson Sim lepas had masa ke Olimpik sukan renang

Percubaan Welson untuk menambah slot ke Rio de Janeiro, Brazil secara merit tidak kesampaian apabila beliau sekadar melakukan catatan masa 15 minit 35.63 saat di Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam.

Beliau perlu melepasi had masa kelayakan iaitu 15:14.77s.

Welson berkata, beliau juga masih bekerja keras untuk memecah rekod kebangsaan bagi acara 1500m gaya bebas itu yang masih dimiliki oleh bekas perenang negara Jeffrey Ong pada 1991 dengan catatan masa 15:23.61s.

“Memang susah untuk melepasi had masa ke Olimpik, tetapi saya berpuas hati dengan catatan masa saya hari ini kerana ia adalah catatan terbaik saya. Saya perlu mengatasi rekod kebangsaan bagi acara 1500m itu dulu sebelum memikirkan untuk melepasi had kelayakan bagi kategori A di Sukan Olimpik,” katanya, pada Ahad.

Welson turut menambah koleksi ketiga pingat emas bagi acara berkenaan selepas mengalahkan perenang India, Sajan Prakash dengan catatan 15:47.68s di tempat kedua.

Perenang Indonesia, Aflah Fadlan Prawira melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 16:00.79s.

“Saya gembira dengan kemenangan pingat emas ketiga ini, kejayaan ini adalah untuk ibu saya (Lee Ngiat Kim) sempena sambutan Hari Ibu hari ini,” katanya.

Dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, Welson turut meraih pingat emas dalam acara 400m gaya bebas dan 200m gaya bebas serta satu pingat perak dalam acara 100m gaya bebas.

Welson kini telah meraih dua slot A ke Sukan Olimpik bagi acara 400m gaya bebas dan 200m gaya bebas. Slot B pula dalam acara 1500m gaya bebas dan 100m gaya bebas.

“Saya akan berlatih di Australia selama dua minggu selepas ini, di sana saya berlatih dengan pasukan Australia dan juga perenang nombor satu dunia iaitu Mack Horton,” katanya.

Welson masih mempunyai peluang untuk memburu slot Olimpik dalam acara 100m gaya bebas dan 1500m gaya bebas dalam tiga kejohanan di Eropah selepas ini. – Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2