Menurut sumber, majikannya meminta wartawan, Kow Gah Chie keluar segera dari Sarawak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Saya dimaklumkan Gah Chie telah pulang petang tadi selepas diarahkan segera balik ke Semenanjung.
“Berita fitnah itu tersebut telah menyebabkan rakyat Sarawak marah malah beberapa laporan turut dibuat ke atasnya,” kata sumber tersebut.
Sumber yang sama juga memaklumkan wartawan terbabit menaiki penerbangan pulang dengan pesawat Air Asia pada hari yang sama arahan dikeluarkan.
Sehingga kini sekurang-kurangnya dua laporan polis dibuat ke atas wartawan berkenaan.
Wartawan itu sebelum ini menulis berita bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’ yang dipetik dari luar konteks ucapan ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee menyebabkan timbulnya kekeliruan umum.
Dr Annuar menafikan berucap demikian dan menyifatkan laporan tersebut sebagai putar belit dan fitnah dengan tujuan menimbulkan sentimen keagamaan di kalangan rakyat Sarawak.
“Saya tidak pernah sebut itu. Semuanya fitnah dan putar belit wartawan Malaysiakini itu.
“Saya hanya berkata, undi BN untuk kekalkan Adenan Satem,” tegas Dr Annuar Rapa’ee, dipetik dari laporan SarawakVoice kelmarin.
Katanya, tindakan wartawan portal itu, Kow Gah Chie mempunyai berniat jahat dan amat tidak bertanggungjawab.
“Dia (Gah Chie) harus faham bahawa di Sarawak, sentimen agama dan perkauman tidak mendapat tempat.
“Kerana itu kita amat menyokong tindakan calon BN di Dudong Datuk Tiong Thai King tidak melayan wartawan dari Semenanjung itu petang tadi,” katanya.