SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Malaysia didakwa di Ireland berkait rampasan kanabis dianggarkan bernilai €580,000 (RM3 juta) di lapangan terbang Dublin.
Menurut The Irish Times, lelaki berusia 39 tahun yang tidak mempunyai alamat berdaftar di Ireland, ditahan ketika tiba di lapangan terbang itu pada pagi Rabu lalu.
Pegawai cukai memeriksa bagasi yang dibawa lelaki itu sebelum menahannya, kata laporan itu.
Lelaki itu yang ditahan di stesen Ballymun Garda, kemudiannya didakwa membawa masuk kanabis secara salah dan memiliki daah untuk jualan atau bekalan. Dia didakwa mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Ireland.
Ketika perbicaraan di Mahkamah Daerah Dublin semalam, lelaki itu berkata “dia menjawab setiap soalan yang ditanya” berhubung tuduhan membawa masuk dadah tetapi enggan menjawab tuduhan yang dikenakan.
Pegawai penguatkuasa Peter Elliot memberitahu mahkamah nilai dadah dirampas itu dianggarkan €580,000, dan meminta tertuduh tidak diberikan ikat jamin.
Walaupun mahkamah menyediakan penterjemah ketika perbicaraan, tertuduh memilih untuk tidak menjawab tuduhan dan tidak membuat sebarang rayuan.
Peguam bela Eoin Lysaght berkata anak guamnya tidak meminta jaminan ketika ini. Hakim Shalom Binchy membenarkan tertuduh ditahan dan menetapkan minggu depan untuk perbicaraan seterusnya di Mahkamah Daerah Cloverhill.
Tertuduh dibenar mendapatkan bantuan guaman kerana keadaan kewangan yang dihadapinya. Kata laporan itu, mahkamah menunggu arahan daripada pengarah pendakwa raya untuk tindakan lanjut. –Free Malaysia Today