Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata bahawa kejadian yang melanda keluarga Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu, Allahyarham Mariah Baharim yang meragut tiga nyawa itu adalah satu tragedi yang amat menyedihkan.
“Pemergian Allahyarhamah Mariah pastinya dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutamanya rakan-rakan seperjuangan dalam Wanita UMNO apatah lagi dalam musim Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara.
“Wanita UMNO mendesak pihak-pihak yang terlibat untuk mengkaji semula punca permasalahan sosial yang menjurus kepada perlakuan amuk supaya langkah-langkah awal dapat diambil untuk mengelakkan tragedi pembunuhan dan mencederakan seperti yang berlaku ke atas keluarga Allahyarhamah Puan Mariah di Bertam Malim, Melaka ini,” katanya melalui satu kenyataan, pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga rakan seperjuangan itu yang mati dibunuh anak angkatnya awal pagi semalam.
Mariah, suami dan anaknya telah dibunuh kira-kira jam 6.30 pagi Khamis manakala tiga lagi ahli keluarga tersebut cedera yang mana dua daripadanya dalam keadaan parah.
Ketiga-tiga mereka sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Suspek kes amuk berkenaan telah ditahan polis dan kini sedang direman tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
“Sehubungan dengan itu, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bersama-sama Pergerakan Wanita UMNO Negeri Melaka akan mengadakan Majlis Tahlil dan bacaan Yasin untuk Allahyarhamah Puan Mariah Binti Baharim dan keluarga.
“Doa kami mengiringi Allahyarhamah Puan Mariah agar rohnya dan dua lagi ahli keluarganya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kami juga berdoa semoga dua lagi anak Allahyarhamah yang dicederakan akan kembali pulih,” kata Shahrizat lagi.