Wanita meninggal dalam kereta ketika jaga bapa sakit di hospital

IPOH: Wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci di kawasan parkir hadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam didapati tertidur ketika menjaga bapanya yang sakit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, semalam pihaknya telah menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan telah nampak seorang perempuan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta di parkir HRPB.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit dan pihak bomba dapat membuka pintu kereta mangsa menggunakan peralatan khas.

Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 20 tahun itu diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia