Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, mangsa, Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, yang lumpuh dijumpai terkulai di atas kerusi malas di dapur rumahnya dengan kesan tetakan di leher dan muka.
Ketua Polis daerah, Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan terdapat seorang wanita cedera parah akibat dipukul anaknya.
Katanya, semasa sampai di rumah tersebut, wanita terbabit didapati telah pun meninggal dunia.
“Pemeriksaan di rumah mangsa menjumpai sebilah pisau pemotong daging dan pisau kecil yang telah patah dengan kesan darah di tepi mayat.
“Kesan darah juga didapati di lantai dan kerusi selain percikan darah di dinding dan peti sejuk berdekatan mangsa,” katanya, memetik laporan Utusan Malaysia.
Ujarnya, anak mangsa berusia 55 tahun yang bekerja sebagai pekebun sawit telah ditangkap dan perintah reman terhadapnya akan dilakukan hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.