Ketua Polis Daerah Tampin, Suprintendan Hamazah Ab Razak berkata, penemuan berkenaan diperoleh hasil soal siasat pihak polis terhadap wanita berusia 36 tahun itu.
Menurutnya, penemuan terbaharu hasil siasatan itu juga menunjukkan wanita itu berkemungkinan mengambil upah menjaga kanak-kanak berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa Muhammad Adam bukanlah anaknya sebaliknya anak rakannya. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan perkara itu dan wanita terbabit masih ditahan reman sehingga esok.
“Setakat ini, kita belum kenal pasti identiti ibu kandung mangsa. Kita perlu memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan,” katanya.
Hamazah berkata, polis mungkin akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas berjaya mengesan ibu kandung Muhammad Adam.
“Setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membuat penilaian dari segi kelayakan untuk menjaga kanak-kanak itu berikutan sebelum ini bapa wanita berkenaan menawarkan diri untuk menjaganya,” katanya.
Muhammad Adam ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin kira-kira 1 pagi Jumaat lepas, dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.
Dia dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya sejak 6 petang, Khamis lalu sebelum ditemui sehari kemudian apabila sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut. – Bernama