Wanita Diculik Kerana Hutang Dadah

KUALA LUMPUR: Gara-gara hutang rakan suami dalam urus niaga dadah, seorang wanita berdepan detik cemas apabila diculik hampir 10 jam dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pada jam 5 petang itu, mangsa berusia 30 tahun itu dilarikan empat suspek berusia 25 hingga 31 tahun termasuk seorang wanita yang menuntut bayaran tebusan sebanyak RM100,000 daripada suami mangsa.

“Menurut saksi kejadian, wanita itu dilarikan dengan ditarik masuk ke dalam kereta jenis Perodua Myvi sebelum suami mangsa membayar wang tebusan RM45,000.

“Bertindak atas hasil maklumat, pada jam 3 pagi (Selasa), sepasukan anggota polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan lima individu temasuk seorang wanita di dua lokasi berasingan di Bukit Damansara dan Sentul dan berjaya menyelamatkan mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa tidak disembunyikan di mana-mana tempat sebaliknya hanya dibawa meronda sekitar ibu negara selama 10 jam,” katanya pada sidang media di IPD Sentul di sini hari ini.

Menurutmya, polis masih memburu seorang lagi suspek dikenali Mohd Danial Harris Azmi, 26, dengan alamat terakhir di Sungai Petani, Kedah untuk membantu siasatan dan kesemua yang ditahan kini direman lima hari sehingga Sabtu untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap