SANDAKAN: Seorang wanita dipercayai dalang utama sindiket meminta rasuah dan memperdaya orang awam berkaitan program perumahan rakyat (PPR) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Menurut sumber, suspek 40-an itu ditahan pada 10.35 malam tadi ketika hadir membantu siasatan di pejabat SPRM cawangan Sandakan susulan penahanan dua beranak berusia 20-an dan 40-an bagi kes sama baru-baru ini.
“Sindiket ini meminta rasuah, sama ada secara tunai atau pindahan ke akaun bank dan menjanjikan rumah mesra rakyat, termasuk insentif seperti perkakasan rumah kepada orang ramai berminat.
“Pemohon yang terpedaya memberikan wang sekitar RM10,000 sejak tahun lalu dan membabitkan nilai puluhan ribu ringgit,” kata sumber itu.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu untuk disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang menjadi mangsa sindiket seumpama itu untuk tampil membantu siasatan. -Bernama