KUALA LUMPUR: Seorang wanita bersama dua anaknya dikhuatiri lemas selepas hanyut dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan dekat sini, petang tadi.
Terdahulu, wanita terbabit bersama suami serta tiga anak mereka berusia antara empat hingga 10 tahun sedang menjala ikan sebelum tiba-tiba air deras melanda sungai itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata laporan kejadian diterima menerusi panggilan MERS 999 pada jam 4.35 petang.
Menurut beliau, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang serta Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) BBP Shah Alam segera digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Laporan kejadian dibuat mangsa yang terselamat, iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun memaklumkan isterinya yang berusia 38 tahun serta tiga anak, terdiri dua lelaki berusia sembilan dan 10 tahun dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dihanyutkan arus deras.
“Bagaimanapun, seorang anak lelaki berusia sembilan tahun berjaya ditemui oleh orang awam dalam keadaan selamat pada 5.18 petang, tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, operasi kini menumpukan pencarian tiga mangsa yang masih hilang membabitkan wanita terbabit bersama dua anaknya berusia empat dan 10 tahun. –Berita Harian