Selepas insiden berlaku, Khaw Hock Kong telah dikritik dan dimarah oleh segelintir ahli MCA, netizen dan penyokong pembangkang, malah Presiden MCA, Liow Tiong Lai juga berpendapat tindakan keluar daripada dewan bukan pendirian yang terbaik. Selama ini pemimpin MCA tegas mempertahankan pendirian untuk memastikan PAS tidak membentangkan usul hudud dan berjuang habis-habisan menghalang pelaksanaan hudud.
Oleh yang demikian, dalam isu Perlis meluluskan pindaan undang-undang Islam, orang ramai berpendapat Khaw Hock Kong akan teguh mempertahankan pendirian membantah dan mempertahankan maruah MCA. Tetapi beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya berpaling meninggalkan dewan.
Pada masa itu, orang ramai tidak jelas atas sebab apa Khaw Hock Kong berbuat demikian, lebih-lebih lagi langsung tidak memberi jawapan yang jelas. Lagipun, pada pandangan umum, keluar dewan tidak bermaksud membantah.
Rakyat ingin melihat semangat MCA mempertahankan rakyat hingga ke akhirnya, dan Khaw Hock Kong terus berdiri di tempatnya untuk menyatakan pendirian atau memgambil bahagian dalam perbahasan untuk menyatakan rasa tidak puas hati, bukannya keluar meninggalkan dewan. Selain itu, tindakan Khaw Hock Kong yang lebih membuatkan orang kecewa ialah tidak memberi penjelasan terhadap pendiriannya, sebaliknya terus mengelak daripada media, menjadikan perkara semakin kabur.
Sebelum RUU tersebut dibentangkan, setiap ADUN adalah jelas mengenai perkara tersebut, Khaw Hock Kong juga tidak terkecuali. Rasionalnya, Khaw Hock Kong akan melaporkan perkara tersebut kepada parti Pusat, bagi mencari pendekatan yang baik.
Oleh kerana itulah ada khabar angin mengatakan Khaw Hock Kong ada menerima arahan pemimpin Pusat untuk meninggalkan dewan, jika benar maka pemimpin MCA sendiri mempunyai isu kerana tidak memberi arahan kepada Khaw Hock Kong untuk menyatakan rasa tidak puas hati dan menyertai perbahasan.
Tindakan Khaw Hock Kong tersebut juga menjelaskan bahawa MCA tidak memberi arahan yang betul kepada Ahli Parlimen atau ADUN MCA dalam berdepan dengan isu kontroversi. Bagaimanapun melalui peristiwa ini, MCA perlu mempunyai satu pendekatan yang betul, malah mengajar Ahli Parlimen dan ADUN mereka cara berdepan situasi janggal agar tiada perkara yang sama lagi berulang. – Kwong Wah Yit Poh