Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata Mahathir membuat kenyataan itu untuk kepentingan diri dan dendam beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Umum mengetahui pemberian BR1M banyak memberi manfaat terutama membantu golongan miskin berpendapatan kurang RM4,000.
“Ulama juga sudah menegaskan pemberian BR1M adalah satu bentuk bantuan kepada rakyat dan bukannya rasuah seperti dicanangkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kota Bharu pada Rabu.
Rozali berkata, ketika beliau menyertai Semangat 46 (S46) sebelum ini, pemberian bantuan kewangan berkenaan sudah menjadi manifesto S46 ketika itu.
“Idea pemberian bantuan kewangan ketika itu dicadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu individu berumur 60 tahun ke atas layak menerima bantuan berjumlah RM300 sebulan bagi membalas jasa mereka.
“Namun ketika itu, S46 tidak mempunyai sumber kewangan kukuh menyebabkan ia tinggal cadangan saja.
“Najib melakukan sesuatu yang hebat apabila rakyat, termasuk golongan muda yang layak dapat merasai BR1M dan beberapa lagi faedah lain,” katanya.
Beliau berkata, BR1M adalah idea popular yang hadir daripada pemikiran Najib dan ini mungkin menyebabkan Mahathir berasa iri hati terhadap kejayaan idea berkenaan. –BH Online