Mnurut laporan portal mStar Online, jurucakap universiti berkata UUM akan menyelesaikan bil perubatan Mohd Arif Gamar, 21, dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Korea Selatan.
“Sehingga hari ini, pelajar berkenaan masih dirawat di hospital.
“Oleh itu, hospital masih belum dapat mengeluarkan satu bil perubatan rasmi untuk pelajar itu,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan, Isnin.
Universiti itu juga berikrar bahawa pelajar itu akan dijaga dengan baik sehingga selamat kembali ke Malaysia.
“Kebajikannya adalah keutamaan kami,” kata jurucakap itu, sambil menambah pihak universiti sentiasa berhubung dengan pelajar berkenaan dan memberi kemas kini kepada ibu bapanya.
Mohd Arif antara salah seorang daripada lima pelajar dari Malaysia yang ditaja untuk mewakili negara pada Forum Belia Antarbangsa Kelima mengenai Sejarah Perdamaian di Seoul.
Forum lima hari itu dianjurkan Suruhanjaya Kebangsaan Korea untuk Unesco dan diadakan di Universiti Hanyang minggu lalu.
Walau bagaimanapun, pada 8 Ogos, semasa sesi ice-breaking pada awal forum itu, Mohd Arif mengadu sakit perut yang teramat.
Kesakitan itu disebabkan radang apendiksnya pecah dan beliau perlu menjalani pembedahan dengan segera di Hospital Kangbuk Samsung kerana keadaan itu boleh mengancam nyawanya.
Pelajar dari Sabah itu kemudiannya mendapati beliau perlu membayar bil perubatan sebanyak RM37,000.