Usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen PAS-Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah ditolak dari giliran asal berdasarkan apa yang tertera di dalam kertas aturan urusan mesyuarat Parlimen.
Usul berkait hudud itu tidak sempat dibahaskan semalam dan juga dijangka tidak sempat untuk dibahas pada hari ini.
Difahamkan, usul pindaan akta ini diturunkan untuk memberi laluan terlebih dahulu kepada usul yang akan dibawa kerajaan.
Sementara itu, Hadi yang ditemui di Lobi Parlimen dilihat meninggalkan sidang Dewan Rakyat meskipun persidangan masih berlangsung.Â
Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung usulnya yang ditolak dari giliran asal dan hanya tersenyum sebelum beredar meninggalkan Parlimen.
Untuk rekod, pindaan akta ini hanya memerlukan majoriti mudah dan tidak perlu mendapatkan sokongan dua pertiga dewan.
Sidang Parlimen kali ini akan berakhir pada 24 November.
Jika usul itu terus ditolak ke bawah, Abdul Hadi masih berpeluang memohon kerajaan menaikkan usul berkenaan.