Ustaz Kazim seru ahli Parlimen Islam sokong pindaan Akta 355

Beliau berkata, sokongan harus diberikan umat Islam tanpa mengira kedudukan mereka terhadap sesuatu perkara yang menaikkan martabat Islam itu sendiri.

“Apabila kita beragama Islam sama ada sebagai ahli Parlimen atau tidak sesuatu perkara yang menaikkan martabat Islam wajib diberi sokongan penuh.

“Kerana itu, saya menyokong gesaan Mufti Perak supaya semua Ahli Parlimen Islam memberi sokongan penuh tanpa perlu ada unsur politik dalam perkara ini,” katanya, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Kazim berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Perdana Maal Hijrah, di Masjid Jame’ Simpang Empat, Balai Polis, Chenderong Balai, malam tadi.

Semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria membuat gesaan sama dan berkata, ahli Parlimen Islam daripada PAS, PKR, dan Umno seharusnya menyokong pindaan berkenaan yang akan di bawa ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang bagi membolehkan usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah berjaya dilaksanakan setelah berpuluh tahun ianya diperjuangkan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa ahli Parlimen daripada Umno dan PKR yang enggan memberikan sokongan kepada perkara itu.

“Itu salah, kerana sebagai orang Islam, mereka mesti menyokong sebarang usaha untuk menaik taraf mahkamah syariah dan saya sendiri mengharapkan semua ahli Parlimen Melayu dan beragama Islam bersatu menyokong perkara ini.

“Jika semua memberi sokongan, Insya Allah ia akan dapat diluluskan,” kata Harussani.

Sementara itu, Kazim turut berkata, walaupun terdapat perbezaan dalam ideologi politik masing-masing, penyatuan sesama Islam harus dilaksanakan atas urusan memartabatkan agama Islam itu sendiri.

“Kita melakukan perkara yang baik iaitu memartabatkan kuasa Mahkamah Syariah, oleh itu semua umat Islam di negara ini perlu bersatu untuk menjadi lebih kuat.

“Pangkah la yang mana kita inginkan tetapi bila masuk hukum agama kita perlu bersatu dan bukan berpecah belah,” katanya semasa menyampaikan ceramah berkenaan.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri