Undi BN tetap stabil jika tiga penjuru di Selangor

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak cukup untuk menarik sokongan terutamanya daripada ahli-ahli UMNO.

“Sebahagian daripada penyokong mereka daripada UMNO. Kalau berlaku tiga penjuru, perpecahan yang melibatkan parti pembangkang cukup ketara.

“Berbeza dengan BN, walaupun berlaku perpecahan, ianya tidak banyak. Undi BN hampir stabil dan mereka mampu tambah sehingga 15 peratus lagi sokongan ketika kempen pilihan raya,” katanya ketika membentang hasil kajian tersebut di Hotel Carlton di sini.

Menurut kajian tersebut, Barisan Nasional mendahului PAS, Amanah dan PPBM jika terdapat pertembungan tiga penjuru di antara parti-parti tersebut.

Walaupun DAP dan PKR mempunyai peratusan sokongan yang lebih tinggi, Barisan Nasional mampu meningkatkan sokongan sehingga 15 peratus ketika kempen pilihan raya berbanding PKR dan DAP yang mampu naikkan sokongan maksima 5 peratus sahaja.

Mengulas lanjut mengenai kredibiliti kajian tersebut, Redzuan menegaskan beliau merupakan seorang ahli akademik dan bukannya ahli politik walaupun IDE di bawah kerajaan negeri Selangor.

“Saya hendak tegaskan, saya ahli akademik dan bukan ahli politik sebab itu dalam kajian saya saya perincikan soal kaedah kajian. MB tidak tahu kajian yang kami buat.

“Apabila kita buat kajian politik, kita perlu sedar politik adalah suatu yang dinamik, apa-apa boleh berlaku.

“Timbul soal berat sebelah disebabkan masyarakat menganggap kajian ini suatu yang mutlak sedangkan kajian dibuat sebelum itu. Dalam politik sehari itu boleh dianggap terlalu lama, apatah lagi sebulan, setahun,” katanya.

Tambah Redzuan, hasil kajian ini boleh digunapakai sebagai rujukan sekiranya berlaku pilihan raya mengejut di negeri Selangor.

“Berdasarkan rekod lalu, kecuali ada isu-isu besar, perubahan dari segi corak pengundian tidak banyak berlaku di Malaysia ini. Buat masa ini, berdasarkan kajian inilah yang berlaku.

“Contoh 1MDB, masyarakat nampak tenang. Kalau hendak tengok reaksi mereka, kena tunggu sambutan Bersih 5. Secara keseluruhannya masyarakat merasakan isu 1MDB ini tidak memberi kesan kepada mereka,” ujarnya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri