UMNO Sabah tetap kukuh – Annuar Musa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yakin UMNO Sabah akan terus bertambah kukuh dan sokongan terhadap parti Semporna juga tetap kuat walaupun berdepan krisis.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, semangat yang tinggi dalam kalangan ahli UMNO Sabah dalam memperjuangkan kepentingan parti dan bukannya individu menjadikan UMNO bertambah kuat di negeri ini.

Beliau berkata kepentingan parti perlu diutamakan berbanding sentimen individu akan menjadikan UMNO Sabah secara keseluruhannya bertambah kuat walaupun berdepan isu keluar parti oleh beberapa ahli dan pemimpin, termasuk di Semporna.

Selain itu, katanya, faktor sejarah politik negeri ini yang berdepan pelbagai krisis suatu masa lalu, menyebabkan rakyat Sabah tetap mempertahankan UMNO sebagai parti yang membawa kepada kestabilan politik di di negeri ini.

“Atas semua faktor ini, saya yakin UMNO Sabah bertambah kukuh malah sokongan terhadap parti ini di Semporna, jelas masih kuat.

“Saya terharu dengan komitmen dan semangat juang tinggi di kalangan ahli UMNO untuk terus mempertahankan parti ini di Sabah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan semua ketua penerangan UMNO peringkat Sabah, di Kota Kinabalu malam tadi.

Hadir sama pada pertemuan itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dan semua ketua penerangan UMNO bahagian di negeri ini.

Mengenai jumlah ahli dan cawangan UMNO yang keluar parti termasuk di Semporna, Annuar berkata, sebahagian laporan diterima tidak menggambarkan keadaan sebenar di negeri ini.

“Setakat ini, tiada jumlah yang tepat berapa ramai ahli yang keluar parti. Kita belum mendapat jumlah yang sebenar. Jika mahu keluar parti, mereka kena tender surat dan beri notis bagi memudahkan kita mengeluarkan nama mereka daripada senarai ahli UMNO.

“Namun situasi yang berlaku, kita hanya dengar dalam perhimpunan seperti rumah terbuka Aidilfitri, mereka umum keluar parti. Saya percaya jumlah (yang keluar) adalah kurang daripada digambarkan. Bagaimanapun, kita memantau situasi ini,” katanya.

Mengenai sama ada sudah menerima surat peletakan secara rasmi daripada ahli UMNO yang mendakwa keluar parti termasuk daripada bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau berkata, pihaknya belum menerima surat secara rasmi kecuali hanya daripada laporan media.

Dalam pada itu, Annuar amat mengagumi semangat UMNO Sabah yang begitu kuat mempertahankan parti sekali gus menjadi petanda baik kepada UMNO di negeri ini.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri