UMNO perlu berpegang teguh ikut disiplin Al Quran

Menurut Pengerusi UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, perkara yang terpenting disebut di dalam Al Quran adalah melibatkan aspek perpaduan yang mana ianya perlu diamalkan oleh setiap ahli UMNO bagi menguatkan parti itu.

Jelasnya, jika tiada semangat perpaduan tinggi dalam kalangan ahli-ahli Umno, parti itu sudah pasti akan kehilangan kekuatan yang akhirnya membawa kepada kekalahan dalam perjuangan.

“Al-Quran banyak tekankan soal perpaduan kerana ia merupakan tunjang kekuatan ummah. Jika perpaduan kalangan kita lemah, sudah pasti kita akan kehilangan kekuatan dan akhirnya kita akan kalah,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli UMNO khususnya di negeri Terengganu supaya sentiasa berpegang teguh kepada petunjuk Al-Quran dalam perjuangan.

“Itulah benteng paling teguh, selagi kita berpegang kepadanya (Al-Quran), kita tidak akan sesat. Sebaliknya kita akan sentiasa kukuh dan harmoni.

“Perjuangan dalam politik amatlah berat dan penuh dengan dugaan serta cabaran. Oleh itu kita perlu jaga imej dan pertahankan nilai-nilai moral dalam parti,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tilawatul Al-Quran dan Marhaban Peringkat Negeri Terengganu anjuran Wanita UMNO Negeri Terengganu, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, pada Selasa.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri