UMNO mohon persempadanan parlimen Bukit Katil dikaji semula

Ketua UMNO Bahagian itu, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata ini kerana persempadanan semula yang dicadangkan itu akan membawa keluar pusat daerah mengundi (PDM) Bachang dan Peringgit ke kawasan Parlimen Kota Melaka.

“Sekiranya ini berlaku Parlimen Bukit Katil yang kini mempunyai kira-kira 105,000 pengundi akan kehilangan lebih 10,000 pemilih berdaftar di kedua-dua PDM itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bandar Hilir semalam.

Mohd Ali yang juga anggota Dewan Negara berkata UMNO juga akan mencadangkan kepada SPR untuk menambah dua atau tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu dalam kajian persempadanan semula kawasan tersebut.

Pada masa ini, Parlimen Bukit Katil mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru dan Ayer Molek.

Pada pilihan raya umum 2013, kerusi Parlimen Bukit Katil dimenangi Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR menewaskan Mohd Ali dengan majoriti 5,447 undi.

Telah dilaporkan sebelum ini Parlimen Bukit Katil merupakan kawasan parlimen yang bakal menjadi tumpuan utama dan ‘kawasan panas’ di Melaka pada pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar sikap pembangkang yang mendakwa SPR melaksanakan persempadanan semula itu demi kepentingan pihak tertentu.

“Dari dahulu lagi pembangkang akan sentiasa menuduh bahawa ada konspirasi namun apa yang dilaksanakan SPR adalah mengikut peraturan dan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri