UMNO Kuala Kangsar belum bincang soal calon

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Shafie, berkata tumpuan pihaknya kini adalah untuk menguatkan jentera pilihan raya bahagian.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menstruktur semula jentera pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong dan Bukit Chandan bagi menghadapi PRK itu.

“Nama calon belum dibincangkan (dalam mesyuarat hari ini) dan ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO Pusat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan perkara itu Jumaat ini.

“Bagaimanapun, jentera pilihan raya UMNO Kuala Kangsar sudah melakukan gerak kerja dan semalam kita menerima lawatan dari Badan Perhubungan UMNO negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian itu di sini, hari ini.

Mohamad Kamil berkata, UMNO Kuala Kangsar bersedia menerima siapa saja calon yang akan diputuskan oleh UMNO negeri dan Pusat bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan dan memastikan keutuhan UMNO Kuala Kangsar terpelihara.

“Siapa juga calon yang akan diletakkan, ia adalah satu cabaran yang besar kepada kepimpinan UMNO bahagian,” katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam tragedi helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak, minggu lalu.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri