UMNO jangan lalai dan angkuh – Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razalaiegh Hamzah berkata demikian ketika memberi contoh berkaitan Parti LDP di Jepun dan Parti Kongress di India.

“Saya tidak mahu (UMNO) terjerumus keadaan seperti Parti Kongres di India dan LDP di Jepun..mereka kalah pilihan raya kerana terlampau lalai dan angkuh. Nasihat kepada yang berkuasa supaya tengok-tengok sikit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan buku bertajuk The End Of UMNO? Essays On Malaysia’s Dominant Party di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dikenali sebagai Ku Li, beliau mengulas mengenai tajuk buku yang menggambarkan UMNO akan ber’kubur’ itu sekadar tajuk yang ditulis dan diolah oleh Prof. Bridget Welsh

“UMNO masih hidup sampai sekarang, sudah banyak tahun dan ramai sudah menikmati hasil keamanan dan kestabilan di negara ini. Kamu bersetuju ke tak? Tajuk itu pilihan penulisnya. Ia bukan bukan saya, kalau buku saya tajuknya mungkin berlainan,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Ku Li berkata “ikan busuk mula daripada kepala” menjelaskan, “Macam saya cakap ada pemimpin biasanya dalam satu-satu organisasi akan mula buruk di kepala, kalau ada keadaan seumpama itu (berlaku) kena potong kepala,” katanya.

Ku Li juga berpendapat amat sukar untuk pembangkang mengalahkan UMNO memandangkan parti berusia 70 tahun itu sudah berpengalaman dan mempunyai jentera parti yang kuat.

“Tengok sahaja bajet, mereka betul-betul pergi kepada rakyat,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya bertajuk Nafas Baru Demokrasi Berpelembagaan Negara, Ku Li berpendapat, Majlis Raja-Raja seharusnya bertindak sebagai kuasa perlembagaan berkumpulan selain daripada tiga cabang kerajaan sedia ada dan keadaan itu pasti memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Maljlis Raja-Raja, katanya, boleh membantu sekiranya sistem pemerintahan terbantut dan ketiga-tiga cabang kerajaan tidak berfungsi.

“Saya ingin menyingkap kembali kedudukan Majlis Raja-Raja. Walaupun terdapat peruntukan mengenainya di dalam Perlembagaan, rakyat jelata cuma merasai kehadirannya dalam bentuk semangat. Ini disebabkan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai belanjawan sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa lain untuk kewujudannya. Ia juga tidak mempunyai kerangka pentadbiran sendiri secara menyeluruh.

“Ini menyedihkan. Sebenarnya raja-raja merupakan salah satu pihak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan. Ini bermakna raja-raja Melayu juga terlibat dalam mewujudkan perlembagaan negara,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri