UMNO dan PAS tidak layak laksana hudud – Zaid Ibrahim

Zaid yang sebelum ini merupakan ahli UMNO itu berkata demikian malah menambah kedua-dua parti tersebut turut tidak layak untuk meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau ringkasnya, Akta 355.

Beliau menambah, dirinya tidak menentang undang-undang tersebut namun apa yang menjadi pertikaiannya ialah sikap dan keperibadian pemimpin yang bagaimanakah yang layak untuk melaksanakan hukum Allah tersebut.

“Umno dan pemimpin PAS tidak layak untuk melaksanakan hudud atau meluluskan Rang Undang-Undang Akta 355 yang dibentangkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Parlimen. Mereka tidak mengerti untuk bersikap adil dan saksama. Mereka adalah pemimpin sombong yang tidak boleh diharap oleh rakyat.

“Adakah mereka yang mahu melaksanakan hukum itu benar-benar dikenali sebagai pemimpin sepertimana yang ditetapkan oleh Islam? Jawabnya, sama sekali tidak.

“Pertama, kerana mereka sombong. Apa-apa sahaja mengenai Islam seolah-olah hanya mereka yang tahu dan orang lain tidak berhak untuk mempersoalkan mereka. Satu hari mereka berkata Umno kafir, maka kafirlah Umno. Hari ini mereka kata Umno pejuang Islam, maka pejuang Islam lah Umno,” kata Zaid, memetik ucapannya ketika program “BN boleh ditewaskan” di Kota Bharu, baru-baru ini yang disiarkan di blognya, www.zaid.my.

Zaid berkata, pemimpin-pemimpin seperti ini hanya mahukan orang lain menerima dan akur dengan segala kata-kata dan tingkah laku mereka.

“Mereka ini, sama ada pemimpin politik atau agama, adalah sama dengan Taliban. Mereka mahu kita semua untuk mengikut mereka tanpa soalan dan jika kita tidak bersikap demikian, maka kita dianggap sebagai umat Islam yang tidak baik.

“Kemudian mereka juga menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi diri mereka daripada tuduhan jenayah. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri, sama ada dengan mencuri wang, balak atau hutan simpan,” kata bekas menteri kabinet itu lagi.

Tambahnya, pemimpin seperti mereka juga akan menangkap dan menghukum semua orang lain yang seperti dirinya, yang kerap mempersoalkan mengenai kelakuan mereka.

“Mereka akan menggunakan samseng untuk menghalang perhimpunan aman. Adakah ciri-ciri sedemikian yang ditetapkan oleh al-Quran bagi mereka yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin kepada rakyat?

“Sudah tentu tidak, kerana al-Quran dan Nabi Muhammad telah menyatakan dengan jelas bahawa pemimpin Islam mesti adil dan penyayang. Mereka mesti hidup secara sederhana dan tidak mengenakan bayaran atau mahukan upahan untuk menyebarkan agama.

“Islam benci kepada pemimpin yang munafik. Islam benci kepada pemimpin yang berpura-pura dan berdusta. Islam menuntut kejujuran dan integriti dari para pemimpinnya,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin hari ini korup dan tidak jujur dan mereka adalah orang-orang yang sekarang mahu memperkenalkan undang-undang hudud.

“Mereka tidak layak digelar sebagai pemimpin Islam dan sama sekali tidak sesuai untuk melaksanakan hudud,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Zaid berkata, rakyat perlu menolak sebarang undang-undang yang mereka mahu luluskan kerana mereka tidak mungkin berlaku adil serta bukan juga pemimpin yang adil.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri