Langkah itu diambil oleh pengurusan tertinggi APM selepas rakaman video mengenai penggunaan ular semasa latihan kem jati diri di pejabat APM Kuala Kangsar menjadi viral di media sosial sejak Ahad.
Pengarah APM negeri, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, berkata pihaknya mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilakukan ketika menjalankan Program Kem Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru, Kuala Kangsar, ketika kejadian.
Katanya, hasil maklumat awal yang diperoleh mendapati jurulatih melempar dua ekor ular sawa jenis ‘Blood Python’ ke dalam kolam yang perlu dilalui oleh sekumpulan pelajar perempuan.
“Pengurusan APM Pusat dan negeri sangat kecewa dengan kejadian ini kerana jurulatih yang berada di tempat kejadian melanggar SOP sedia ada.
“Kegagalan untuk mematuhi SOP tidak sepatutnya berlaku dan kita akan menjalankan siasatan terhadap semua mereka dan memastikan keadilan serta hukuman setimpal diberi mengikut prosedur tatatertib APM,” katanya, memetik laproan BH Online.
Mohd Noor berkata, program berkenaan adalah siri ke-32 yang bermula pada tahun 2012 dan sudah empat tahun dilaksanakan.
Katanya, seramai 1,622 orang pelajar sudah mengikuti program membina jati diri di APM Kuala Kangsar namun kejadian menggunakan ular berkenaan adalah pertama kali berlaku.