UiTM ubah landskap sosioekonomi Melayu, Bumiputera, kata Najib

Beliau berkata universiti itu juga hakikatnya adalah tunjang kepada kaum Melayu dan bumiputera.

“Kelahiran UiTM memang dekat di hati keluarga saya kerana pengasasnya tidak lain tidak bukan Allahyarham ayahanda saya, Abdul Razak Hussein yang memikirkan penubuhan Institut Teknologi Mara (kini UiTM) sebagai satu langkah yang boleh lahirkan cerdik pandai dalam kalangan kaum Melayu dan bumiputera.

“Bagi saya pula, sewaktu menjadi Menteri Pendidikan, langkah yang telah saya ambil untuk bentang Akta Mara 1999 merupakan satu detik transformasi cukup bermakna kerana ITM dapat kita martabat sebagai sebuah universiti,” katanya ketika berucap pada perasmian sambutan ulang tahun ke-60 UiTM di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan institusi itu sejak 60 tahun lepas juga memberi kesan besar dalam empat objektif penubuhan sebuah universiti iaitu akses kepada pendidikan, akses kepada pendidikan berkualiti, mobiliti sosial dan keadilan sosial.

“Akses kepada pendidikan merupakan antara kayu pengukur bagi sebuah negara maju dan UiTM beri sumbangan besar dalam aspek itu dengan 661,456 graduan telah berjaya dilahirkan institusi keramat ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-60 UiTM di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Hassan Said.

Perdana menteri berkata langkah kedua beliau lakukan selepas proses transformasi daripada ITM kepada UiTM adalah menyasarkan enrolmen sebanyak 200,000.

“Selepas itu kita lihat banyak kampus tambahan dibina di setiap negeri dan kini terdapat 34 kampus UiTM di seluruh negara. Saya juga difahamkan dalam tempoh empat ke lima tahun akan datang, sasaran 200,000 enrolmen akan jadi kenyataan,” katanya.

Najib dalam pada itu berkata penubuhan universiti itu sejak 60 tahun lepas juga berjaya memberi kesan besar terhadap empat objektif penubuhan sebuah universiti iaitu akses kepada pendidikan; akses pada pendidikan berkualiti; mobiliti sosial dan keadilan sosial.

Beliau berkata akses kepada pendidikan merupakan satu daripada kayu pengukur bagi sebuah negara maju dan UiTM memberi sumbangan besar dalam aspek itu di mana seramai 661,456 graduan telah berjaya dilahirkan oleh institusi keramat itu.

Selain itu, perdana menteri berkata dari segi pendidikan berkualiti, UiTM merupakan antara penyumbang tertinggi dari segi kebolehpasaran graduannya.

“Saya juga telah lawat banyak negara dan Malaysia merupakan antara negara terbaik di dunia dari segi mobiliti sosial.

“UiTM turut menyumbang kepada mobiliti sosial dan keadilan sosial negara yang menyaksikan nasib masyarakat terutama golongan Melayu dan Bumiputera kini mampu keluar daripada kemiskinan selain membina masyarakat yang adil tanpa mengira bangsa,” katanya.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan Anugerah Ikon Alumni Berjaya kepada enam penerima iaitu Kamarudin Meranun (Ikon Alumni Keusahawanan); Hamad Kama Piah Che Othman (Ikon Alumni Pencapaian Profesional); Damit Ahmad (Ikon Alumni Budaya); Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Ikon Alumni Sukan); Norazam Ab Samah (Ikon Alumni Kemanusiaan) dan Wan Nazri Wan Aria (Ikon Alumni Muda).

Perdana menteri turut melancarkan tabung dana keusahawanan universiti berkenaan yang menerima sumbangan pertama berjumlah RM1.1 juta.— Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia