Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, empat bidang yang diberikan autonomi kepada universiti awam adalah institusi governan, kewangan, penjanaan pendapatan, sumber manusia, serta akademik, dan kemasukan pelajar.
“Selaras dengan itu, UiTM melalui autonominya yang diberikan boleh melaksanakan apa-apa seminar yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan kerjasama organisasi-organisasi lain,” kata Idris, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking yang meminta KPT menyatakan sebab bersetuju dengan penganjuran seminar berbaur anti Kristian tahun lalu.
Darell juga turut bertanyakan sama ada menteri bersetuju dengan penganjuran forum di UiTM yang akan memberi penerangan oleh pakar agama Kristian supaya budaya saling menghormati antara agama akan dapat dicapai.
Idris yang juga ahli Parlimen Besut berkata, autonomi yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi awam tiu adalah merupakan penurunan kuasa daripada agensi pusat dan pihak KPT kepada Lembaga Pengarah Universiti dalam menentukan sesuatu keputusan dengan matlamat membolehkan universiti awam bergerak secara berkesan demi mencapai agenda kecemerlangan.
“Untuk makluman Yang Berhormat, KPT tidak bersetuju dengan apa-apa kenyataan provokasi yan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Idris.
Idris menjelaskan, penganjuran seminar yang mencetuskan kontroversi itu adalah untuk membincangkan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra mengenai isu kritikal secara akademik, selaras dengan budaya intelektual diperingkat pendidikan tinggi.
“Selain itu, secara dasarnya, seminar tersebut juga memberi penerangan tentang ancaman militan Islamic State (IS), Syiah, keganasan dan kupasan sejarah termasuk Perang Salib serta perkembangan Islam yang berlaku untuk dikongsi bersama pelajar UiTM,” kata Idris lagi.