Ubah Suai Rumah Jadi Taska, Helah Sindiket Dadah Terbongkar

KUALA LUMPUR: Helah satu sindiket yang menjadikan sebuah rumah teres diubah suai menyerupai pusat jagaan kanak-kanak sebagai stor simpanan bekalan dadah terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 3 petang.

Katanya, serbuan pertama di Cheras, Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

“Soal siasat kemudian membawa serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Dagang, Ampang di Selangor yang membawa rampasan dadah bernilai RM10.8 juta.

“Dadah yang dirampas ialah 213 kilogram (kg) syabu, 90 kg pil eramin 5 serta 3 kg heroin base,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket terbabit mengubah suai rumah seperti pusat jagaan kanak-kanak atau taska dengan lakaran gambar kartun dan lukisan yang berwarna-warni bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tambahnya, sindiket yang aktif sejak hujung tahun lalu dipercayai menyewa rumah itu dengan bayaran RM3,000 sebulan.

“Suspek berperanan sebagai pembawa dadah dengan dibayar upah RM20,000 berdasarkan penghantaran yang dibuatnya. Dadah itu dipercayai dibawa dari utara Semenanjung sebelum diletak di rumah terbabit,” ujarnya.

Polis, katanya, masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket serta memanggil pemilik rumah terbabit.

Suspek telah direman tujuh hari sehingga 26 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Allaudeen menyeru seluruh masyarakat menyalurkan maklumat kepada polis agar kegiatan jenayah dan dadah khususnya di ibu negara dapat diambil tindakan. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap