Ubah sikap hadapi masa mendatang

Malaysia tidak dapat mengelak daripada perubahan besar yang telah berlaku di peringkat glabal pada 2016. Umpamanya, kejatuhan harga minyak mengundang penurunan nilai Ringgit berbanding USD menyebabkan ekonomi negara terus menguncup. Namun lantaran kepelbagaian ekonomi negara selepas krisis kewangan pada 1997, Malaysia dijangka dapat menghadapi serangan ekonomi daripada luar.

Jika ingin mencapai kemenangan cemerlang pada PRU14, kerajaan perlu memulihkan kedudukan ekonomi bagi menjamin supaya rakyat hidup selesa. Kerajaan juga perlu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan agar golongan peniaga dan pengusaha dapat menceburkan diri di pentas antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih berada di tangga terbaik dalam saingan di peringkat antarabangsa. Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia masih mengatasi beberapa negara di Asia dan ASEAN dengan menduduki tangga ke-14 daripada 138 negara di dunia. Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran ekonomi, rakyat Malaysia perlu bersatu mengatasi masalah yang dihadapi sekarang.

Beberapa perubahan berlaku dalam politik negara pada tahun lalu. Di antaranya, penggabungan Anwar Ibrahim dan Mahathir yang dianggap musuh, kerjasama Pakatan Harapan dengan PPBM, hala tuju UMNO dan PAS selepas Najib dan Hadi Awang duduk di atas pentas yang sama menjadi tumpuan. Namun isu Mahathir keluar UMNO dan perpecahan AMANAH dan PAS disifatkan sebagai tindakan mengutamakan kepentingan peribadi yang menyebabkan berlaku pergolakan politik negara.

Namun hala tuju politik negara kini tidak jelas lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU14. Bagi meraih sokongan pengundi, parti kerajaan mahupun pembangkang perlu menunjukkan perkhidmatan yang terbaik dan mengutamakan kebajikan rakyat. Walaupun parti-parti kerajaan kelihatan lebih stabil, namun kerajaan perlu mengambil perhatian serius berhubung gejala rasuah dan penyelewengan. Jika pemimpin masih mengutamakan kepentingan peribadi nescaya rakyat merasa kecewa dan tidak akan memberikan sokongan.

Selain itu, UMNO perlu memutuskan kerjasama dengan PAS terutama dalam pembentangan Akta 355 di Parlimen. PM perlu mengembalikan Malaysia kepada sistem negara sekular agar hak dan kepentingan semua kaum mendapat jaminan Perlembagaan. Politik Islam memberi pukulan hebat kepada masyarakat berbilang kaum Malaysia dan kerajaan perlu menyekat isu agama yang memecahbelahkan masyarakat.

Kontroversi kaum dan agama kini semakin meluas dan ia menjejaskan keharmonian sosial. Setiap rakyat perlu memelihara perpaduan bagi mengelakkan perpecahan kaum dan agama sehingga merosakkan perpaduan kaum di negara ini. Sungguhpun sepanjang tahun lalu negara menghadapi pelbagai cabaran, namun rakyat perlu mengubah sikap dan bersama-sama berusaha demi kestabilan negara. – Sin Chew Jit Poh

Related posts

Kaedah pengiraan jatuhkan Najib

“Tugasan besar” DAP

Hadi Awang “Man of the year”