Peletakkan jawatan tersebut berpunca daripada kegagalan PKR mendapatkan kerusi DUN Tasik Biru untuk beliau bertanding bagi memberi laluan kepada calon DAP, Mordi Bimol menentang calon terus Barisan Nasional, Henry Harry Jinep.
Kata Boniface, kedudukan PKR dalam Pakatan Pembangkang terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang yang berada dalam kedudukan ‘tidak selesa’ menyebabkan parti itu sentiasa tunduk dengan kehendak DAP.
“Ketika berunding, PKR ini boleh diumpamakan seperti budak sekolah muda dan kecil yang sentiasa mencuba yang terbaik untuk selamat dalam persekitaran yang sentiasa bermusuhan.
“Dalam persekitaran ini, keupayaan PKR untuk bertanding di mana-mana kerusi di mana terdapat tuntutan bertindih dari DAP adalah sepenuhnya mengikut kehendak DAP,” katanya seperti dilapor Borneo Post.
Menurut Boniface, beliau percaya dinamik politik ini tidak akan berubah dan segala usaha PKR untuk bertanding di kerusi tersebut pada masa akan datang akan menjadi usaha yang sia-sia.
Malah perkara ini bukan pertama kali terjadi dan pernah berlaku dalam pilihan raya umum sebelum ini di mana pencalonan beliau untuk bertanding di kerusi Parlimen Mas Gading turut dinafikan oleh DAP.
Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian ketika ditanya perkara itu enggan mengulas lanjut.
“Saya tiada komen tentang itu. Beliau telah menyatakan pandangannya dan saya simpati dengan situasi yang dihadapinya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, di Kuching di sini.
Pada Selasa lalu, kehadiran Setiausaha DAP, Lim Guan Eng ke Tasik Biru untuk mengumumkan calon parti itu disambut dengan banner ‘DAP greedy’, ‘DAP can’t be trusted’, ‘DAP tamak kerusi’ dan ‘DAP buli PKR’.
Walaupun tidak diketahui siapa yang meletakkan banner-banner tersebut, rata-rata penduduk tempatan yang ditemui percaya ia dilakukan oleh ahli PKR yang tidak berpuas hati dengan DAP kerana meletakkan calon mereka di kerusi tersebut.