Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja demi mencapai matlamatnya sehingga terpaksa menggadai prinsip perjuangannya.
Beliau menyifatkan Dr Mahathir bukan saja sasau, malah sanggup melakukan apa saja demi melunaskan dendamnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya dari dulu sudah meramalkan yang Mahathir akan berbuat apa saja demi untuk mencapai niat busuk beliau kepada Najib selagi dia hidup dan bernyawa.
“Melihat kepada tingkah laku dan perbuatannya, Mahathir sudah sampai ke peringkat sasau dan semakin hilang ingatan.
“Emosinya, dendamnya dan kebenciannya pada Najib mengatasi rasionalnya sebagai seorang mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang pernah mendapat sokongan rakyat khususnya ahli UMNO walaupun banyak kesilapan dilakukannya selama 22 tahun memerintah,” katanya di laman sosial Facebook.
Tun Mahathir sebelum ini dalam satu program deklarasi bagi menjatuhkan Najib menyeru kepada pengundi supaya PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar supaya menolak BN.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri itu juga membuat keputusan meninggalkan UMNO selepas usahanya menjatuhkan Najib tidak berjaya hingga ke hari ini.
Dr Mahathir juga dikatakan akan turun padang berkempen untuk mengalahkan calon BN dalam PRK pada 18 Jun nanti.