Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi individu pertama yang mendaftarkan diri sebagai ahli seumur hidup parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Menerusi Facebook rasmi parti itu, gambar Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu sedang mengisi borang di muat naik.
Selain itu beberapa gambar pemimpin Bersatu mengisi borang keahlian seumur hidup turut dimuat naik seperti presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Kerja Eksekutif, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Srikandi parti, Anina Saaduddin.
Selain itu turut di muat naik adalah suasana orang ramai di pusat pendaftaran Bersatu di Bukit Damansara.
Sementara itu Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (Pendaftaran) Bersatu, Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi memaklumkan pendaftaran ahli Bersatu secara terus boleh dilakukan di Suite 2.01, Epicure, No1, Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
“Manakala pendaftaran secara atas talian dijangka diaktifkan pada minggu ketiga bulan September.
“Nama-nama penyelaras pendaftaran di peringkat negeri akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.