Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan dakwaan itu selepas melihat Tengku Razaleigh bersama barisan kepemimpinan UMNO Kelantan mengisytiharkan sokongan kepada Najib.
Menurut Mahathir, Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li adalah individu yang memberi cadangan untuk menyingkirkan Najib Razak dengan undi percaya di Parlimen.
Walaupun memberi cadangan itu, namun dakwa Mahathir, Ku Li kini dilihat sudah menukar pendiriannya untuk terus menyokong Najib.
“Dia dah tukar dia punya pedirianlah. Dia ingat kalau satu orang hilangkan RM42 billion itu perkara baik, dia harus sokong, itu hak dia.
“Akhirnya dia yang cadang jatuh Najib ini, dia sokong Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung tindakan Tengku Razaleigh yang menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongab terhadap kepimpinan Najib.
Sebelum ini, Mahathir mengadakan deklarasi bagi menjatuhkan Najib termasuk bekerjasama dengan DAP dan PKR.
Ia dilihat langkah terdesak bekas Perdana Menteri itu selepas beberapa usaha dilakukannya gagal menggulingkan Najib yang terus mendapat sokongan kepemimpinan UMNO.
Sementara itu, Mahathir berkata beliau sedia bekerjasama dengan sesiapa saja bagi menjatuhkan Najib termasuk dengan seteru politiknya iaitu, Lim Kit Siang.
Bukan itu saja, Mahathir berkata beliau turut sedia mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail asalkan berjaya mencapai matlamatnya untuk menumbangkan Najib.