Tun M punca segala masalah negara ini, tempelak Sultan Johor

Menurut Sultan Ibrahim, kritikan Dr Mahathir itu seakan-akan menunjukkan pemimpin politik berkenaan tidak mengetahui mengenai sejarah Johor.

Malah beliau turut menempelak Mahathir yang disifatkannya sebagai punca kepada segala masalah yang berlaku di negara ini.

“Beliau bertelagah dengan ramai pemimpin dunia termasuk dengan negeri jiran kita Singapura dan ia memberi kesan kepada Malaysia.

“Tun Mahathir merupakan punca kepada masalah di negara ini, pada ketika ini. Beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam negeri saya. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sikap beliau,” titah Sultan Johor.

Memetik laporan The Star hari ini, Sultan Ibrahim menyuarakan rasa kurang senangnya dengan kenyataan Mahathir semalam yang berkata bahawa beliau tidak bersetuju dengan konsep bangsa Johor itu.

Menurut Mahathir, konsep itu menjadi punca kepada perpecahan dan perpaduan rakyat.

“Tun Mahathir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan beliau langsung tidak tahu tentang sejarah negeri Johor.

“Moyang saya, Sultan Sir Ibrahim pada 1920 mengadakan seruan terhadap Bangsa Johor bagi menyatu-padukan pelbagai kaum di Johor di bawah satu bendera untuk perpaduan, keharmonian dan keamanan yang lebih baik. Tiada bangsa atau individu yang dipinggirkan. Almarhum terbukti benar.

“Konsep Bangsa Johor telah dimulakan sebelum Tun Mahathir dilahirkan. Beliau tak tahu apa yang dikatakannya,” titah Sultan.

Dr Mahathir ditanya mengenai pandangannya terhadap konsep Bangsa Johor pada sesi Wacana Perdana Ke-20 bertajuk ‘Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata, perpaduan di kalangan rakyat Malaysia boleh diruntuhkan sekiranya rakyat lebih banyak mengamalkan konsep kenegerian.

Dr Mahathir berkata, rakyat seharusnya dikenali sebagai rakyat Malaysia, daripada bergelar bangsa Johor atau Kedah kerana negara akan makmur sekiranya semua bersatu.

Walaupun Johor boleh mempromosikan idea seperti “Bangsa Johor” yang merupakan hak kebebasan, tetapi Dr Mahathir berkata, tetapi ia tidak seharusnya menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.

“Lagipun, kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit, agama, etnik atau kedudukan,” kata Dr Mahathir.

Sultan Ibrahim pada Rabu bertitah, Dr Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai perpaduan.

“Beliau memecah-belahkan rakyat termasuk orang Melayu, manakala saya menyatukan rakyat Malaysia dari semua kaum termasuk orang Melayu,” titah Sultan.

Sultan Ibrahim menitahkan Dr Mahathir perlu memahami bahawa semua negeri mempunyai kebanggaan mereka tersendiri tetapi tidak bermakna mereka melupakan Persekutuan.

“Ia adalah sebahagian daripada imaginasi Dr Mahathir. Beliau hanya menimbulkan masalah, maka saya menasihatkan beliau supaya tutup mulut.”

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri