Dr Mahathir mencabar Najib untuk berdebat melibatkan isu pentabdiran negara dan perdebatan itu katanya harus disiarkan secara langsung.
“Saya dah tua sekarang. Tetapi Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk. Saya dengan senang hati akan menerima debat terbuka dengan Najib dan penonton mengikutinya menerusi siaran langsung.
“Debat itu hendaklah mengenai pentadbiran negara.
“Saya mungkin kalah. Wang boleh menang. Biar rakyat Malaysia menilai, tidak TV3 atau NST atau penyokong saya sendiri,” tulis Dr Mahathir dalam blognya.
Cabaran beliau itu dipercayai merujuk kenyataan Najib dalam satu temu bual dengan media Indonesia baru-baru ini.
Dalam temu bual itu Najib menyatakan jika terpaksa memilih antara kepentingan negara dan bekas perdana menteri itu, beliau memilih kepentingan negara.
“Najib memberitahu penontonnya bahawa saya mahu dia melakukan sesuatu dengan cara saya sahaja. Mungkin begitu walaupun saya tidak fikir ia adalah benar.
“Tetapi jika dia mahu melakukan sesuatu mengikut caranya, ia perlu sekurang-kurangnya menjadi sesuatu yang baik untuk negara ini. Menggalakkan rasuah sudah pasti tidak baik untuk negara atau untuk sesiapa sahaja,” kata bekas doktor itu.
Mahathir berkata adalah tidak wajar bagi seseorang perdana menteri memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya tidak kira apapun penjelasannya, apatah lagi alasan yang diberikan kurang dipercayai.
“Tiada perdana menteri Malaysia harus mempunyai jumlah ringgit sebanyak itu dalam akaun peribadinya. Dan penjelasan dia mengenai sumber berbilion itu agak tidak masuk akal,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau dengan berkata; “Saya menulis ini dari hospital. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang menghantar mesej cepat sembuh kepada saya.
“Ucapan-ucapan membantu, tetapi memohon untuk menyertai parti baru itu adalah lebih baik.”