Tun M dedah dua surat mantan timbalannya

Dalam satu kenyataan di blog miliknya pada Isnin, Dr Mahathir berkata beliau telah membaca biografi ‘Frankly Speaking’ yang diterbitkan Musa di mana beliau menulis peletakan jawatannya tiada kaitan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebaliknya, Musa mendakwa beliau meletak jawatan kerana dituduh oleh Dr Mahathir cuba menggulingkan bekas perdana menteri itu.

Menafikan dakwaan itu, Dr Mahathir melampirkan dua pucuk surat ditulis Musa dengan surat pertama bertarikh 5 Julai 1984 dan surat kedua, 31 Julai 1984.

“Saya bersetuju peletakan jawatan Musa tiada kaitan dengan Tengku Razaleigh. Untuk membuktikannya, saya melampirkan dua pucuk surat ditulis oleh Musa kepada saya mengenai sokongan beliau terhadap pelantikan T.R sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian,” kata Dr Mahathir secara sinis.

Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat mengekalkan keinginan Musa untuk merahsiakan surat itu kerana biografi bekas timbalannya itu membayangkan tiada apa yang ingin disembunyikan.

Beliau tidak menyiarkan salinan surat asal yang sukar dibaca sepenuhnya.

Namun beliau melampirkan transkrip apa yang diperkatakan.

Dalam surat pertama, Musa menasihatkan Dr Mahathir mengenai pelantikan T.R, yang mungkin dimaksudkan sebagai Tengku Razaleigh, sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Surat kedua pula merupakan notis awal daripada Musa mengenai hasratnya untuk meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

“Untuk melihat bagaimana berterus-terangnya cerita Musa mengenai dirinya, sila baca kedua-dua suratnya. Salinan asal sukar dibaca, jadi saya menulis semula kandungan. Anda boleh membuat perbandingan,” kata Dr Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu juga secara sinis mengatakan bahawa negara terlepas peluang besar untuk melihat ‘hubungan rakan rapat’ antara Tengku Razaleigh dan Musa.

“Amat malang. Jika saya dikalahkan oleh T.R, kita mungkin boleh melihat hubungan rakan rapat antara T.R dan Musa dalam kerajaan. Negara mungkin menjadi lebih maju menjelang tahun 2000 atau lebih awal.

“Kita terlepas peluang yang baik,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri