Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kebakaran pada bahagian stor barang seramik dan kotak sarung tangan di kilang itu berlaku kira-kira 7.30 malam.
Katanya, kebakaran yang memusnahkan 50 peratus bahagian stor itu turut mengakibatkan tumpahan cecair kimia jenis ammonia sebanyak 300 liter.
Bagaimanapun, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh yang membuat pengesanan dan pemeriksaan mengesahkan kawasan itu selamat.
“Lapan jentera dengan kekuatan 86 anggota bomba terlibat dalam operasi mengawal dan memadam kebakaran itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, operasi melibatkan anggota dari balai Kamunting, Taiping, Bagan Serai dan turut dibantu beberapa Pasukan Bomba Sukarela antaranya dari Parit Buntar, Baru Kurau, Nibong Tebal dan Juru selain Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd.
Operasi tamat sepenuhnya 2.40 pagi tadi. – Bernama