Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dakwaan berkenaan nyata sekali tidak benar dan tidak tepat dengan mengatakan pindaan melibatkan Akta Profession Undang-undang 1976 (LPA) adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk campur tangan dalam urusan Majlis Peguam.
“Pindaan LPA sedang dalam peringkat penggubalan, adalah tidak adil pihak luar untuk campur tangan dan mengeluarkan sebarang kenyataan. Prinsip tidak campur tangan dalam urusan negara lain perlu dipegang oleh semua pihak.
“Cadangan pindaan terhadap LPA sedang dibuat setelah mengadakan perbincangan dan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam sendiri. Harus difahami, proses sesuatu pindaan itu perlu melalui banyak peringkat sebelum dibawa ke Kabinet dan diluluskan di Parlimen.
“Selain itu, apa yang dibangkit oleh Majlis Peguam sebelum ini adalah tidak berasas kerana kerajaan tidak berhasrat untuk mengawal badan itu sebaliknya pindaan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 42 (1) (I) Akta 166 iaitu memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di Malaysia,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Azalina turut menambah, Majlis Peguam harus terus berpegang kepada tujuan penubuhannya yang mana untuk melindungi kepentingan profesion undang-undang melibatkan 17,000 orang ahlinya.
Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Pengerang itu turut menegaskan bahawa “Cadangan pindaan kepada LPA ini juga tidak mengganggu gugat integriti dan kebebasan peguam.”