‘Tubuhlah lebih banyak parti baharu’

Kata Nazri, beliau menggalakkan lebih banyak parti baharu ditubuhkan, malah berharap Datuk Seri Shafie Apdal akan menubuhkan parti baharu seperti dilakukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Jelasnya lagi, penubuhan parti baru tidak akan memecahkan undi kaum Melayu sebaliknya ia hanya akan memecahkan undi pembangkang disebabkan perebutan kerusi dalam pilihan raya.

“Saya mempunyai pandangan berbeza kerana saya menggalakkan lebih banyak parti ditubuhkan. Lebih banyak parti, mereka akan termasuk dalam golongan pembangkang.

“Lebih banyak parti ditubuhkan oleh penderhaka-penderhaka adalah lebih baik kerana sudah tentu mereka akan berebut antara satu sama lain dalam isu kerusi yang ingin mereka bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di MRSM KUala Kangsar, pada Ahad.

Mohamed Nazri berkata, sejarah menunjukkan mereka yang derhaka kepada sesuatu institusi akhirnya akan kecundang seperti yang pernah berlaku kepada pemimpin-pemimpin besar terdahulu.

Katanya, meskipun menyesal dengan perbuatan mereka dan kembali kepada parti, namun mereka tidak lagi boleh menjawat kedudukan tertinggi kerana tindakan sebegitu dikeji bagi masyarakat Melayu.

“Sebab itu kesetiaan itu amat penting. Saya rasa majoriti ahli UMNO setia pada parti dan kesetiaan dari peringkat akar umbi memang sudah cukup mantap.

“Perkara ini (kesetiaan kepada UMNO) harus diingatkan kepada pemimpin kerana yang banyak menderhaka kepada parti adalah pemimpin seperti (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), Muhyiddin, Shafie Apdal, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) dan (bekas menteri Tan Sri) Rafidah Aziz.

“Pada saya, saranan untuk berlaku setia mesti dibuat kepada pemimpin. Ahli-ahli biasa tetap setia. Itu sebab (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kekal kerana adanya ahli yang setia dengan parti,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri