Ketua Zon Satu Balai Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd. Khairul Jamil berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada pukul 3.43 pagi itu disebabkan kereta api 41 gerabak itu tidak membawa penumpang.
Beliau berkata, tren kargo dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di Ipoh dipercayai kosong kerana mahu mengambil muatan simen.
Dua orang pemandu tren itu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.
“Terdapat kebakaran kecil pada bahagian enjin gerabak dan anggota bomba hanya dibenar masuk ke lokasi setelah bekalan elektrik di kawasan itu ditutup,” katanya ketika dihubungi di Ipoh pada Jumaat.
Berikutan kemalangan itu, landasan kereta api bagi laluan utara serta selatan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pengalihan gerabak.
Mohd. Khairul berkata, dua jentera dengan 16 anggota serta pegawai terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan pengalihan gerabak. – Bernama